top of page

MAKANAN SEMASA PERKAHWINAN



Title. Double click me.

Sajian Majlis Perkahwinan


Sajian makanan tradisional Bugis semakin terserlah ketika mengadakan majlis perkahwinan. Dalam perkahwinan Bugis, terdapat beberapa upacara majlis yang menyempurnakannya, antaranya mappaenrek passeok, iaitu suatu upacara menghantar duit yang membentuk suatu ikatan antara bakal pengantin, mappaci (berinai) dan persandingan. Sekurang-kurangnya 24 jenis kuih-muih dan makanan tradisional disediakan oleh pihak pengantin perempuan bagi menyambut rombongan kedatangan wakil keluarga pengantin lelaki. Antara makanan tradisional tersebut ialah kawusallo, manjarella, lulung kasoro, nennuk-nennuk, biji nangka, paloleng, leppang jampu, beppa tello, puteri sala, katiri sai, tolobu, bingka, babingka, palita, lapisi, sanggarak, poso, paloppo ipaesa, sarikaya, barongko, sanggarak sitombolok, doko cangkuli, sari mokka, pasok (M. Husain Saidong 2005:18).
Sejenis makanan yang dinamakan ‘Palopo’ (iaitu istilah yang digunakan dalam dialek Bugis Enrekang) menjadi sajian istimewa ketika upacara mappaenrek passeok. Makanan ini terdiri daripada nasi pulut yang dimakan bersama gula merah yang dimasak dengan santan dan telur. Bagi menyediakan sajian makanan dan kuih-muih pelbagai rupa dan rasa untuk upacara ini, pihak keluarga pengantin perempuan akan bekerjasama dan dibantu oleh jiran sekampung. Selain kuih Bugis, terdapat juga buah-buahan yang dihidangkan ketika mappaenrek passeok. Antaranya, kelapa bertandan, pisang bertandan, tebu, nanas, jambu dan buah lontar. Buah-buahan tersebut diisi dalam lawasuji (tempat penyimpanan barang yang diperbuat dari anyaman buluh dengan bentuk segi empat.


Dalam majlis berinai (mappaci), makanan yang dihidangkan ialah nasi putih yang lauk pauknya terdiri daripada kari (daging, lembu, kerbau, sapi), nasu manuk (ayam), jenno bale (ikan goreng), nasu ladang (lombok masak), nasu bue (kacang hijau masak), salonde (masakan touge yang tidak berkuah), tempa-tempa (lauk-pauk berbentuk segi tiga yang diperbuat daripada kelapa parut) dan berbagai-bagai jenis masakan lain. Tetamu yang hadir turut dihidangkan dengan kuih tradisional seperti onde-onde, paloleng, suwella, doko-doko cangkuning, nennu-nennu, beppa pute, snaggarak, barongko, lapisi dan sebagainya. Kebanyakan jenis kuih-muih tersebut diperbuat daripada tepung beras bercampur gula merah atau gula pasir.


Onde-onde atau buah Melaka merupakan simbol kehidupan dengan harapan kedua-dua pengantin hidup senang, sebagaimana rasa kuih onde-onde yang manis dan gurih kerana bahan dasarnya gula merah dan kelapa parut. Di samping itu, diharapkan agar kedua-dua mempelai berjaya dalam kehidupan sebagaimana sifat kuih buah Melaka yang sentiasa terapung dan tidak akan tenggelam kedasar periuk ketika dimasak. Harapan lain ialah agar kedua-dua mempelai hidup rukun dan damai dan utuh dalam kehidupan rumahtangga kelak sebagaimana halnya keutuhan kuih buah Melaka yang terdiri daaripada tepung beras, kelapa dan gula merah. Suwella ialah sejenis kuih Bugis yang melambangkan kenikmatan hidup berumahtangga, sebagaimana halnya kuih tersebut yang sentiasa manis kerana pada bahagian luarnya dioleskan dengan cairan gula melaka. Dalam hal ini, masyarakat Bugis mengharapkan kedua-dua mempelai sentiasa mengalami suasana kehiduapan rumahtangga yang bahagia. Doko-doko cangkuning merupakan simbol keberuntungan. Doko-doko cangkuning berbentuk tiga segi dan bahagian dalamnya terdapat pallisek (inti) tepung beras pulut hitam bercampur gula merah. Simbol ini bermakna sebagai suatu harapan agar kedua-dua mempelai tidak mengalami kekosongan dalam kehidupan rumahtangganya kelak sesudah menikah. Dalam simbol tersebut terkandung makna ‘selalu berisi’ atau tidak mengalami kekosongan, baik dalam erti selalu mendapatkan rezeki (usahanya tidak hampa) mahupun dalam erti akan mendapatkan keturunan sebagai penyambung keturunan (M. Husain Saidong 2005:18).


Nennu-nennu dibuat daripada tepung beras campur gula merah dan bentuknya menyerupai sarang burung. Kuih tersebut merupakan simbol kehidupan agar kedua-dua mempelai sentiasa hidup bahagia penuh nikmat, sebagaimana halnya kuih nennu-nennu yang saling kait-mengait bagaikan sarang burung. Beppa pute ialah kuih tradisional yang berwarna putih sehingga dalam rangkaian upacara perkahwinan kuih tersebut melambangkan kesucian dan keikhlasan kedua-dua mempelai dalam melayarkan bahtera rumahtangga mereka. Didoro dan baje menggunakan bahan dicampur dengan gula merah sehingga rasanya sangat manis dan gurih. Kuih ini merupakan lambang atau simbol kehidupan. Makna simbol yang terkandung ialah harapan agar kedua-dua mempelai sentiasa berbahagia dan merasai kehidupan rumahtangga yang penuh kenikmatan. Salonde ialah sejenis lauk pauk yang dibuat daripada kacang hijau yang telah bertunas. Sesuai dengan bahan asasnya, maka masakan ini melambangkan suatu kehidupan rumahtangga yang sentiasa tumbuh dan berkembang semakin besar bagi kedua-dua mempelai. Nasu ladang ialah makanan tradisional orang Bugis yang terdiri daripada lombok besar (cili besar) yang dipotong-potong, kemudian dicampur santan dan kadang-kala dicampur kunyit. Makanan ini merupakan simbol sosial yang mengandungi makna agar kedua-dua mempelai saling bersatu hati, mempunyai semangat setia kawan serta bertimbang rasa antara satu sama lain (M. Husain Saidong 2005:18).


Buah kelapa bertandang merupakan simbol kehidupan dengan beberapa makna. Pertama, mengharapkan agar kedua-dua mempelai beranak-pinak, bagaikan buah kelapa yang tumbuh dan bergantung pada tangkainya. Kedua, agar kedua-dua mempelai memiliki ketegaran dalam menghadapi dugaan demi dugaan, sebagaimana halnya buah kelapa yang tidak mudah pecah meskipun jatuh dari pohonnya yang tinggi. Ketiga, mengharapkan agar kedua-dua mempelai panjang usia dan mencapai kedudukan yang tinggi umpama pohon kelapa yang tinggi melangit. Keempat, mengharapkan agar kedua-dua mempelai sentiasa memberikan baktinya kepada masyarakat sekeliling seperti buah kelapa yang serba guna. Tebu yang manis melambangkan harapan agar kedua-dua mempelai sentiasa bahagia sebagaimana nikmatnya rasa tebu iaitu manis dan tidak membosankan. Simbol-simbol tersebut umumnya mencerminkan harapan bagi orang tua dan sanak-saudara agar kedua-dua mempelai dapat mengharungi kehidupan kehidupan dalam suasana aman dan damai.


Pada majlis persandingan, mengikut kelaziman yang dijalankan oleh masyarakat Bugis di Sabah hari ini, para tetamu akan dihidangkan dengan berbagai jenis makanan bukan sahaja makanan berupa nasi dan lauk pauk tetapi juga kuih basah (mengikut bahasa panggilan yang digunakan oleh orang Bugis) ataupun puding. Dalam hal ini, jamuan makan dimulakan selepas majlis akad nikah, disusuli dengan hidangan kuih-muih. Bagi memperindahkan suasana majlis persandingan, kuih-muih yang berupa puding ini akan diletakkan dalam pinggan yang disusun dalam barisan bekas yang dinamakan sebagai ‘bembengan’. Wakil keluarga perempuan akan menyambut tetamu yang hadir untuk merasa juadah kuih-kuih basah ini terlebih dahulu sebelum dipersilakan untuk menjamu nasi berserta lauk-pauk yang disediakan. Antara sajian istimewa lauk-pauk tersebut ialah coto atau soto makasar (buffalo soup), pegedel dan beberapa jenis masakan ayam. Tetamu yang datang silih berganti untuk memberikan doa restu kepada kedua-dua pengantin, disamping menyerahkan sumbangan yang disebut passolo.





   

Title. Double click me.

gambar 3:beberapa pinggan palopo dan nasi yang diletakkan telur rebus beserta ayam gulai alannota dan segelas air sebagai sajian utama ketika mappaenre passeok

bottom of page