top of page

                               

 

Adat dalam perkahwinan masyarakat bugis:

 

ADAT SEBELUM



i. MaManuManu atau MaPesiare’keng .

Bermaksud merisik sama ada si gadis sudah atau belum dipinang orang. Sebelum adat merisik dijalankan, pihak keluarga lelaki terlebih dahulu akan bertanyakan pendapat anak lelakinya tentang wanita yang hendak dikahwininya. Biasanya tugas menyelidik latar belakang keluarga perempuan diambil alih oleh abang sulung. Situasi ini berbeza dengan kaum wanita yang tidak diberitahu tentang bakal suaminya dan mereka hanya menyedari akan berkahwin apabila persediaan sedang dijalankan.



ii. MaPetuada’ atauMassuro .



Dijalankan  di rumah pengantin perempuan.. Bertujuan untuk membincangkan MaTanre Esso  (waktu perkahwinan), jenis sunreng atau sompa (mas kahwin), balanja atau duwimenre (belanja perkahwinan dan penyelenggaraan majlis).



iii. Maduppa atau mattamba.



Bermaksud mengumumkan dan menjemput saudara-mara ke majlis perkahwinan.. Adat maduppa dilakukan seminggu sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan. Ia dijalankan oleh dua orang wakil dari kaum wanita yang sudah berkahwin dengan berkunjung dari rumah ke rumah bersama dulang yang berisi rokok dan mancis. Adat mattamba dilaksanakan apabila menjemput tetamu berbangsa Bugis. Etnik yang lain pula akan dijemput melalui kad undangan.



iv. Napissilli.



Bermaksud suatu permohonan kepada Yang Maha Esa agar tiada perkara buruk berlaku keatas pasangan pengantin dan majlis yang bakal diadakan.. upacara napissilli  dilakukan pada waktu pagi ketika matahari sedang naik di halaman rumah. Kedua-dua pengantin terlibat dalam upacara ini tetapi dijalankan secara berasingan. Upacara ini biasanya dilakukan dua hari sebelum upacara pernikahan. Pasangan memakai pakaian biasa semasa upacara Napissilli.. Selepas upacara berlangsung, pakaian yang telah dipakai oleh pasangan tersebut akan diserahkan kepada Indo’ Botting.

v. Persediaan Majlis Perkahwinan



dapat dilihat seperti hantar leko, mendirikan sarappo’ dan bakal pengantin perempuan dipingit dari penglihatan orang ramai. Hantar leko’ bermaksud menghantar wang belanja dan barang-barang hantaran lain mengikut persetujuan kedua belah pihak. Manakala mendirikan khemah bertujuan untuk menempatkan tetamu yang hadir dan biasanya saudara-mara dan jiran tetangga akan dating membantu.
Setelah adat di atas dijalankan dan kedua-dua pihak keluarga lelaki dan perempuan bersetuju dengan perbincangan yang diputuskan, maka adat semasa upacara perkahwinan akan dijalankan mengikut tradisi perkahwinan yang diwarisi dari orang tua.

 

ADAT SEMASA

​
Nikah dijalankan menurut tatacara islam yang dijalankan menurut tatacara islam yang dikendalikan oleh imam dan disaksikan oleh wali perempuan dan disahkan oleh dua orang saksi dan pegawai agama. Bagi melaksanakan upacara pernikahan, pihak lelaki akan datang ke rumah pengantin perempuan untuk bernikah. Kedatangan pengantin lelaki diiring bersama pembawa ‘sompa-sompa’  dan rombongannya disambut oleh beberapa orang penyambut tetamu dari pihak keluarga pengantin perempuan.

 

Mappelattu nikah. Apabila akad nikah selesai dijalankan, pengantin lelaki yang didiringi saksi dan imam akan ke bilik pengantin perempuan. Sebelum memasuki bilik tersebut, pihak lelaki dikehendaki membayar sejumlah wang yang diminta oleh pengapit dan indo botting sebagai tol untuk membenarkan mereka masuk ke dalam bilik. Adat ini dilakukan untuk menguji kesabaran dan kesanggupan pengantin lelaki berkorban untuk mendapatkan isterinya. Setelah dibenarkan masuk, pengantin lelaki akan bersalam dengan isterinya dan adat mekkerawa selanjutnya akan dijalankan.



Mekkerawa dimulakan oleh salah seorang pengiring yang menghantar pengantin lelaki ke bilik pengantin perempuan. Pengiring yang akan melaksanakan adat ini ialah ayah pengantin perempuan yang bertindak untuk ‘mempersatukan’ kedua mempelai. Dalam upacara ini, pengantin lelaki akan dibawa menghampiri pengantin perempuan, pengiring tadi akan mengambil tangan pengantin lelaki dan  menyentuhkannya dengan sebarang bahagian tubuh pengantin perempuan. Upacara ini merupakan simbol bersatunya kedua-dua pasangan pengantin sebagai suami isteri yang sah. Setelah makkeawa selesai, pasangan pengantin dibawa keluar untuk menemui kedua ibu bapa dan saudara mara pengantin perempuan untuk upacara sujud, iaitu besalaman dengan mereka untuk mendapatkan restu.

 

Tudang Bottingnge’  ialah majlis persandingan yang diadakan semasa perjumpaan rasmi ketika ketibaan pengantin lelaki dan lawatan pengantin lelaki yang biasanya diadakan pada waktu siang. Dalam majlis persandingan ini, tetamu yang hadir akan membawa hadiah berupa wang tunai dan akan dimasukkan ke dalam tong yang diletakkan berhampiran pelamin. Majlis ini akan berlangsung sehingga lewat tengah malam dan diraikan dengan kugiran muzik dan nyanyian moden ataupun persembahan karaoke. Majlis ini dinamakan pesta botting.



Mappaola  ialah adat bertandang ke rumah keluarga pengantin lelaki yang biasanya dilakukan seminggu atau dua minggu selepas majlis pernikahan diadakan. Dalam upacara ini, pengantin perempuan bersama rombongannya akan membawa buah tangan untuk keluarga mertuanya. Persandingan juga diadakan di rumah pengantin lelaki. Adat ini juga dinamakan  masittabaiseng  iaitu perjumpaan rasmi dengan saudara mara dan antara ibubapa dengan kedua-dua pengantin.

bottom of page